Waspada Tipu Daya Syaitan!!!
Nafsu sentiasa menyeru manusia melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dengan pengetahuan dan kefahaman ini, InsyaAllah akan terhindarlah kita daripada godaannya.
Antara bentuk godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita ketahui dan awasi itu ialah:-
1. Melarang manusia beribadat kepada Allah
Kerja harian syaitan adalah melarang manusia melakukan amal ibadat kerana Allah.Tetapi jika
seseorang itu dipelihara Allah, dia akan menolak seruan syaitan dan berkata"Aku mengharapkan pahala daripada Allah dengan melakukan pelbagai ketaatan dan amal ibadat, aku harus mempunyai bekalan demi akhirat yang kekal.
2. Memujuk manusia agar tidak taat
Syaitan akan berbisik kepada seseorang itu: "Nanti sahaja atau sudah tua kelak." Orang yang dipelihara Allah akan mennolak bisikan itu dengan berkata: "Kematianku bukan berada di tangan mu.Jika aku melengah-lengahkan amalan hari ini atau esok hanya mendapat kerugian, sedangkan setiap hari aku mempunyai amal yang berlainan.
3. Mendorong manusia agar tergesa-gesa
Syaitan tidak suka manusia yang menggunakan masa untuk beramal, oleh itu syaitan mendorong manusia supaya tergesa-gesa dalam beramal dan mengerjakan kebaikan.Syaitan berkata: "Cepatlah beramal agar engkau dapat mengejar amalan yang lain." Tetapi bagi orang yang dipelihara Allah akan berkata " Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik dari amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.
4. Mendorong agar membuat amalan kerana manusia
Syaitan akan menyuruh manusia melakukan amalan baik dengan sempurna supaya tidak dicela orang. Ini kerana syaitan tidak mahu manusia membuat sesuatu amalan kerana Allah. Tetapi bagi seseorang yang amalannya dipelihara Allah akan mengatakan: "Bagi saya, penilaian cukup hanya daripada Allah, dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia.
5. Memuji amalan seseorang
Syaitan tidak suka melihat manusia yang taat melakukan ibadat. Jadi apabila seseorang itu beribadat, syaitan akan berbisik: "Betapa tinggi darjatmu kepada orang yang beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurna dirimu." Bagi orang dipelihara Allah, akan mengatakan bahawa keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah, bukan kekuatan dan kekuasaannya. Malah katanya, Allah jua yang melimpahkan taufik kepadanya, reda tehadap amalannya dan memberi pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurnia Allah, apalah erti amalannya, dibandingkan dengan banyak nikmat Allah yang diberikan kepadanya, disamping dosa yang banyak pula.
6. Menyebarkan penyakit riak
Jika syaitan tidak berjaya melakukan tipu daya dengan memuji seseorang, syaitan akan menyebarkan penyakit riak tanpa manusia sedari, kecuali orang yang cerdik dan dapat befikir. Syaitan akan berbisik, " Bersungguh-sungguh engkau beramal dengan Allah, jangan sampai diketahui orang lain." Sebab Allah jualah memberitahu kepada orang lain bahawa engkau seorang hamba yang ikhlas." Dengan kata-kata ini, syaitan dapat menjadikan seseorang itu menjadi riak, tetapi kata-kata berkenaan tidak akan berjaya kepada orang yang dipelihara Allah kerana orang terbabit akan mengatakan: "Hal mal'un (yang dilaknat), tiada hentinya engkau menggodaku dan merosakkan amalanku. Kini seolah-olah akan memperbaiki amalanku,padahal kau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Dan jika berkehendakkan, Allah akan melahirkan atau menyembunyikan amalanku. Dan jika mengkehendaki, Allah akan menjadikanku mulia dan hina. Semuanya adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia".
7. Menanamkan keraguan
Syaitan sentiasa menjadikan manusia melakukan amal ibadat dalam keadaan ragu-ragu. Syaitan mengatakan: Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat. Sebab jika Allah telah menetapkanmu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak menjadi mudarat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia . Dan jika sebaliknya, tidak guna engkau beibadat kerana engkau tetap celaka". Bagi orang yang dipelihara Allah akan mengatakan: " Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintah-Nya. Allah Maha Mengetahui dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendak Nya. Walau bagaimana keadaanku, amalanku tetap bermanfaat, jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku tetap beribadat untuk menambahkan pahala. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku juga tetap akan beribadat agar aku tidak menyesal. Sekiranya aku masuk ke neraka, padahal aku taat, itu lebih aku sukai darpada aku masuk neraka kerana berbuat maksiat.
No comments:
Post a Comment